Kedai Lemang Sarawak yang diusahakan Adnan di Jalan Kota Tinggi - Kluang berhampiran Bulatan Mardi dibuka dari jam 2 petang hingga waktu berbuka puasa setiap hari.

KLUANG – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, macam-macam perniagaan seperti kuih muih mula mendapat permintaan.

Di Kahang, Kluang umpamanya seorang pengusaha Lemang Sarawak, Adnan Ibrahim, 55, sudah mula sibuk mencari buluh lemang sebagai persediaan setiap kali menjelang raya.

Adnan,Pengusaha Lemang Sarawak

Kira-kira 5,000 ruas buluh disediakan sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan orang ramai sepanjang bulan Ramadan sahaja.

Bagaimanapun jumlah itu yang dibekalkan oleh seorang pencari buluh di Kahang akan diambil secara berperingkat dan dijangka bertambah ekoran permintaan jualan lemang pada dua hari terakhir Ramadan.

Beliau berkata, pihaknya menjangka permintaan lemang  akan meningkat kerana minat orang ramai terhadap makanan tradisi Hari Raya Aidil Fitri ini semakin ramai jika mengikut draf jualan setiap tahun.

Katanya, perusahaan yang sudah diusahakannya sejak 18 tahun lalu itu membolehkan pengusaha lemang lain turut mendapatkan bekalan buluh daripada pembekalnya tanpa perlu bersusah payah meredah hutan.

“Perlu difahami, tidak semua jenis buluh boleh digunakan untuk membuat lemang dan hanya mereka yang berkemahiran sahaja mampu mengenal pasti buluh berkenaan.

“Walaupun sudah banyak ciptaan dilakukan untuk membuat lemang termasuk yang sudah sedia dimakan namun orang ramai tetap memilih keaslian masakan menggunakan buluh kerana terdapat aroma berlainan berbanding dengan alatan ciptaan terbaharu itu,” katanya ditemui hari ini.

Adnan yang juga pesara tentera dan berasal dari Sarawak berkata, pelbagai versi masakan lemang daripada negeri-negeri dalam negara ini juga memainkan peranan dalam membezakan rasa serta kualiti masakan.

Bagaimanapun, peminat lemang akan lebih tertarik kepada masakan yang sempurna tanpa berkerak selain memiliki rasa lemak mencukupi serta lembut sebagai pilihan mereka.

“Semua ini hanya boleh dilakukan sekiranya menggunakan buluh yang betul selain api bersesuaian sepanjang temboh pembakaran dilakukan,” katanya.

Harga sebatang lemang yang dijualnya pula bermula daripada RM15 hingga RM20 sebatang.- MalaysiaGazette