KUALA LUMPUR – BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sehingga akhir 2024.

Katanya, pada 7 Mac lepas, bank pusat itu menetapkan OPR pada 3.0 peratus pada mesyuarat kelima berturut-turut, selaras dengan konsensus dan jangkaan BMI.

Menurut firma penyelidikan itu, selain daripada rujukan tidak langsung bank pusat kepada mata wang yang berada ‘di bawah nilai’, yang jelas tiada dalam penyata dasar sebelum ini, terdapat sedikit perubahan, terutamanya untuk panduan ke hadapan.

Dalam nota hari ini, BMI berkata, terdapat dua alasan yang menyokong pandangannya bahawa BNM akan mengekalkan kadar pada mesyuarat seterusnya pada 9 Mei 2024.

Pertama, trajektori inflasi semasa tidak memberi ancaman kepada sasaran inflasi bank pusat.

“Pertumbuhan upah dalam sektor perkhidmatan telah berada pada trajektori menurun, mencatat paras tertinggi sebanyak 9.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2022 dan terkini merosot kepada sekitar tiga peratus pada suku keempat 2023.

“Data tersebut seterusnya menunjukkan inflasi perkhidmatan, yang menyumbang lebih 50 peratus daripada kumpulannya, akan stabil pada dua peratus pada suku tahun akan datang, sejajar dengan pandangan kami untuk inflasi keseluruhan kepada purata 2.0 peratus pada 2024,” katanya.

Kedua, katanya ringgit menerima tekanan yang tinggi, selepas merosot 5.1 peratus berbanding dolar AS pada tahun lepas.

“Walaupun ia mencatatkan pemulihan secara berperingkat dalam beberapa minggu ini, prestasi ringgit setakat ini masih ketinggalan berbanding ekonomi pasaran sedang pesat membangun yang lain.

“Kami telah menyatakan bahawa BNM akan berhati-hati dalam melonggarkan dasar monetari kerana bimbang akan menjejaskan kestabilan mata wang berikutan keadaan monetari global yang kekal terhad.

“Bank pusat sejajar dengan pandangan ini dan menjangka pendirian dasar monetari global ‘akan kekal terhad’ dalam jangka pendek.

“Bagaimanapun, dengan Rizab Persekutuan AS dijangka melonggarkan dasar pada Jun, perbezaan hasil secara berperingkat akan memberi kelebihan kepada ringgit dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” menurut BMI.

Firma penyelidikan itu berpandangan bahawa bukan sahaja BNM cenderung untuk tempoh yang lama tanpa tindakan tetapi pada tiga peratus, kadar dasar adalah sejajar dengan paras sebelum pandemik, menunjukkan bahawa dasar tidak terhad seperti dalam ekonomi lain.

“Seterusnya, kami mengunjurkan tekanan harga asas akan merosot pada 2024 dan purata dua peratus pada 2024, susut daripada 2.5 peratus pada 2023.

“Pasukan minyak dan gas kami mengunjurkan kenaikan lima peratus untuk purata harga minyak mentah pada 2024, konsisten dengan inflasi keseluruhan yang merosot di bawah dua peratus.

“Ini menunjukkan inflasi tidak akan memberi kebimbangan kepada BNM untuk baki tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, BMI berkata, pihaknya menjangka pertumbuhan Malaysia akan kekal kukuh pada 2024.

Katanya data akaun negara yang terkini menunjukkan ekonomi menguncup dengan pelarasan musim 2.1 peratus suku ke suku pada suku keempat 2023, bersamaan dengan kadar pertumbuhan tiga peratus tahun ke tahun.

“Walaupun ini menjadikan pertumbuhan tahun penuh pada 2023 kepada 3.7 peratus, ia berkurangan daripada unjuran kami sebanyak 3.9 peratus.

“Melihat ke hadapan, dengan prospek ekonomi yang bertambah baik, kami menjangka pertumbuhan akan meningkat kepada 4.4 peratus pada 2024 dan berpendapat bank pusat lebih cenderung untuk mengekalkan ruang dasar berbanding bertindak sekiranya terdapat kejutan negatif kepada ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya risiko terhadap unjuran kadar faedah cenderung kepada positif.

“Prospek inflasi domestik masih bergantung sebahagian besarnya kepada pelan kerajaan mengenai subsidi pada tahun ini.

“Penurunan akan menyebabkan tekanan harga meningkat semula. Sementara itu, jika ringgit menghadapi tekanan penurunan nilai, ini boleh mendorong BNM untuk menaikkan kadar bagi mengekalkan perbezaan kadar faedah sebenar berbanding Amerika Syarikat,” katanya. – BERNAMA