Mayat lelaki berusia 20 tahun itu telah di bawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk tujuan bedah siasat.

BATU PAHAT – Seorang lelaki ditemui mati tertiarap disyaki jatuh di bangunan Hotel Summit di sini dalam kejadian petang tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa berusia 20 tahun dan tidak berkerja dikatakan ditemui orang awam di belakang bangunan hotel berkenaan.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan ada kejadian seorang lelaki telah terjatuh di bangunan sebuah hotel kira-kira pukul 3 petang.

“Siasatan awal mempercayai  si mati seorang warga tempatan berdasarkan kesan suntikan BCG di lengan kiri. Hingga kini identiti si mati masih belum diketahui,” katanya hari ini.

Mayat telah di bawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk tujuan bedah siasat.

Polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah dan mengklasfikasikan ia sebagai kes kematian mengejut.-MalaysiaGazette