KUALA LUMPUR – Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) menolak cadangan pindaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) kerana ia boleh menambahkan kos dan menyukarkan doktor-doktor perubatan am (GP).

Pindaan akta itu bertujuan mengenakan kewajipan pembaharuan berkala bagi lesen klinik-klinik swasta.

Perdim yang mengulas perkara itu berkata, pindaan tersebut tidak memberikan kebaikan dari segi kualiti dan keberkesanan perkhidmatan.

Malahan akan membebankan lagi klinik-klinik untuk memperbaharui dan membayar satu lagi lesen dari pelbagai lesen yang sedia ada.

Sedangkan, pada masa sekarang, kebanyakan GP dan klinik-klinik swasta sedang bergelut dengan pelbagai isu.

Antaranya, kos ubat meningkat tanpa kawalan setiap tahun, sewa bangunan, barang-barang lain berkaitan klinik.

Selain itu, peningkatan kos perkhidmatan seperti gaji pekerja, doktor, caj akaun, kos perkhidmatan panel-panel syarikat yang mengenakan pelbagai caj kepada klinik.

Menurutnya, kos memperbaharui lesen sedia ada juga meningkat.

“Memperkenalkan caj pembaharuan lesen klinik bermakna akan menambahkan kos pengurusan bagi klinik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Perdim menambah, pihaknya sedar pembaharuan lesen akan memberikan sedikit tambahan pendapatan kepada kerajaan, tetapi penambahan caj pembaharuan akan memberikan persepsi yang kurang elok kepada kerajaan.

Jelas Perdim, kebanyakan klinik-klinik swasta cuba untuk tidak menaikkan caj supaya kos sara hidup rakyat kurang terbeban, dengan menyerap kenaikan.

Tetapi jika kenaikan dan caj baharu dikenakan secara berterusan, klinik-klinik dr swasta tiada pilihan selain menaikkan harga.

Oleh kerana perkhidmatan kesihatan termasuk dalam kemudahan asas, kos sara hidup akan meningkat, sekali gus membebankan rakyat.

Perdim berharap kerajaan dapat membantu untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh klinik-klinik swasta kerana peranan pentingnya dalam pemberian perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast