KUALA LUMPUR – Dalam menyokong perniagaan digital, Bank Simpanan Nasional (BSN) telah memperkenalkan BSN DuitNow QR Soundbox iaitu terminal pembayaran digital yang menyelaraskan bayaran tanpa tunai bagi peniaga gerai Bazar Ramadan.
Pengenalan produk itu dengan kerjasama Tech Hunter Global Sdn Bhd (PayHunter) sejajar dengan rancangan Geran Digital PMKS Madani (GDPM) kerajaan untuk meningkatkan penyelesaian digital bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, kerjasama dengan PayHunter membuktikan komitmen bank itu terhadap peningkatan produktiviti dan pertumbuhan perniagaan dalam kalanganPMKS menerusi transformasi digital.
“Pengenalan peranti ini adalah ciri yang memudahkan lagi proses pembayaran.
“Sebagai sebuah institusi kewangan yang dimandatkan, kami komited dalam memperkasakan PMKS melalui geran digital PMKS Madani, memastikan kejayaan mereka sekaligus menyumbang kepada perkembangan ekonomi lebih inklusif,” katanya pada majlis pelancaran BSN DuitNow QR Soundbox, di sini, hari ini.
BSN DuitNow QR Soundbox kini tersedia dan diaktifkan penggunaannya di 24 lokasi Bazar Ramadan terpilih sekitar Kuala Lumpur sekaligus memberi manfaat kepada para peniaga gerai dan pengunjung bazar Ramadan.
Penggunaan terminal ini adalah selaras dengan kejayaan program #TechMeToBazaar pada tahun lepas di bazar Ramadan TTDI yang mana ia bukan sahaja mempamerkan komitmen BSN dan PayHunter meningkatkan landskap perdagangan digital malah turut sama memperkasakan kebolehupayaan digital bagi PMKS.
Jay menambah, BSN dan PayHunter juga telah bekerjasama untuk menawarkan peniaga Bazar Ramadan sama ada baharu dan sedia ada peluang untuk menjadi pedagang BSNeBiz.
Katanya, lebih istimewa, kesemua peniaga bazar Ramadan di 24 bazar Ramadan di Kuala Lumpur akan menerima BSN DuitNow QR Soundbox secara percuma.
“Penggunaan peranti ini bakal memudahkan operasi peniaga di samping menjanjikan transaksi yang selamat,” katanya.
Sementara itu, turut dilancarkan Dynamic BSN DuitNow QR Soundbox pertama dengan fungsi pembayaran menerusi kad oleh BSN dan PayHunter.
Pelancaran produk digital ini bertujuan untuk membantu para peniaga dengan menyediakan akses pantas, selamat dan terus ke akaun mereka tanpa kerumitan mengendalikan wang tunai.
Ia akan mula dilancarkan pada suku berikut tahun ini di mana BSN dan PayHunter akan terus menaik taraf QR Soundbox dengan ciri baharu di mana peniaga boleh memasukkan harga produk terus ke dalam peranti yang kemudiannya menjana kod QR secara automatik.
Pelanggan boleh terus mengimbas kod QR atau menggunakan kad untuk pembayaran. – MalaysiaGazette