KUANTAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap rakyat negara ini menjadikan bulan Ramadan sebagai panduan untuk terus meningkatkan amal ibadat dan memperbaiki akhlak.
Perdana Menteri berkata, umat Islam juga harus memanfaatkan dengan menjadikan Al-quran sebagai panduan hidup.
“Ramadan turunnya Al-quran, kita ambil kesempatan untuk bermunajat di madrasah dan tarbiah selain solat sunat di bulan Ramadan,
“Kita harus membaca memahami menghayati dan mengamalkan agar menjadi petunjuk supaya menilai apa yang hak dan apa batil, apa yang disuruh apa yang maaruf dan apa perlu diingkar.
“Jangan jadikan bulan Ramadan ini bulan biasa sebaliknya bulan meningkatkan amal kita. Kerja kita harus lebih akhlak kita harus lebih baik,” katanya semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, akhlak yang baik juga perlu dizahirkan dalam rutin kehidupan sama ada dari segi pemerintahan, pekerjaan dan apa sekali pun.
Ini kerana bulan mulia itu merupakan ujian kepada semua umat Islam dalam menilaikan ketakwaan diri, ujarnya.
“Dalam pemerintahan bulan Ramadan itu mengingatkan pimpinan politik, penjawat awam, termasuk peniaga-peniaga di gerai.
“Ramadan ini memberi ujian dan beri peluang diuji ada kewibaan, ada akhlak, ada nilai kita pertahankan ada intergriti, ‘laalakum tatakuun’ supaya meningkatkan nilai ketakwaan kita,” katanya. – MalaysiaGazette