MELAKA – Melaka bakal menerima penerbangan sewa khas pelancong kesihatan dari Dhaka, Bangladesh dan Jakarta, Indonesia bermula 1 Mei ini.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, perkembangan positif itu sekali gus bakal merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Penerbangan pertama dijangka pada 1 Mei ini membabitkan pelancong kesihatan dari Dhaka, Bangladesh yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam.
“Kita juga sedang menyusun gerak kerja untuk menerima penerbangan dari Jakarta, Indonesia yang dihadap dapat bermula seawal Jun atau Julai ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Ramadan & Ramah Mesra anjuran Pantai Hospital Ayer Keroh di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut Zaidi berkata, kekerapan penerbangan yang dijangka bagi sub sektor pelancongan kesihatan itu adalah dua kali seminggu dan setiap pelancong dijangka berada di Melaka selama empat hari.
“Setakat ini semua lima hospital dan pusat rawatan swasta di Melaka sudah bersedia memberikan perkhidmatan terbaik untuk menyambut kedatangan mereka.
“Melaka sentiasa menjadi pilihan pelancong kesihatan kerana kualitinya dan harga perkhidmatan yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding Singapura, Thailand dan Indonesia,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri juga sedang mengintai peluang untuk memperluaskan lagi promosi pelancongan kesihatan termasuk penerbangan sewa khas dari Sumatera untuk pelancong dari Batam, Pekanbaru, Medan dan Bukit Tinggi. – MalaysiaGazette