Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

LABUAN – Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata parti itu dan UMNO Sabah telah mengadakan perbincangan berhubung kemungkinan menjalin kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Mohd Shafie mengesahkan bahawa perbincangan telah diadakan antara beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin namun tiada keputusan rasmi dibuat oleh majlis tertinggi kedua-dua parti setakat ini berhubung kerjasama itu.

“Kita perlu mengakui bahawa sehingga kini, tiada keputusan telah dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO dan Warisan mengenai kerjasama ini.

“Bagaimanapun, saya telah mengadakan perbincangan bukan sahaja bersama Presiden UMNO tetapi juga Datuk Seri Bung Mokhtar dengan harapan kerjasama seperti ini menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Ramadan Sabah-Labuan di Desa Tunas Hijau, hari ini.

Beliau juga berkata, potensi kerjasama itu bukan satu isu yang menjadi pertikaian dalam kalangan kepimpinan dan akar umbi Warisan.

“Kami optimis parti Warisan akan mengekalkan kekuatan di Sabah seperti kejayaan kami sebelum ini yang memenangi 29 kerusi dan meraih sebahagian besar undi,” katanya.

Mohd Shafie berkata, parti itu juga bersikap terbuka dengan membenarkan ahlinya menghadiri acara politik UMNO tanpa sebarang sekatan.

“Saya menggalakkan ahli-ahli kami untuk menghadiri acara UMNO jika dijemput sepertimana kami mengalu-alukan kehadiran pemimpin UMNO ke acara kami,” katanya.

Beliau juga berkata, berdasarkan sejarah politik Sabah, parti yang memerintah sebelum ini seperti Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) bergerak tanpa gabungan dan menyifatkan kerjasama antara Warisan dan UMNO bukanlah ‘satu cabaran yang tidak dapat diatasi.’

“Ini hanya satu keperluan. Jika kedua-dua pihak perlu menjalin kerjasama, ia bukan satu masalah,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan tidak menolak kemungkinan PRN Sabah diawalkan walaupun tempoh tamat penggal pentadbiran kerajaan negeri sekarang adalah pada Oktober 2025. – Bernama