KUALA LUMPUR – Kira-kira 500 orang terdiri daripada golongan asnaf dan anak-anak yatim diraikan dalam satu majlis iftar anjuran Ehsan Group of Companies yang diadakan di Masjid India, Kajang semalam.
Program yang sebelum ini diadakan setiap tahun turut meraikan lebih 800 jemaah di masjid berkenaan.
Pengasas Ehsan Group of Companies, Datuk Abdul Hamid PV Abdu berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk menyambung semula program tahunan seperti itu selepas ia terhenti sejak tiga tahun lepas.
Katanya, dia berasa bersyukur kerana dapat melihat keceriaan di wajah penerima dan ia merupakan satu usaha kecil dalam meringankan beban golongan berkenaan ketika umat Islam bakal meraikan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Insya-Allah, selepas ini dan pada tahun-tahun mendatang kami akan teruskan lagi usaha menghulur bantuan kepada golongan stersebut agar mereka dapat merasai kebahagian menyambut hari raya seperti orang lain,” katanya.
Abdul Hamid berkata, pihaknya telah memulakan program berkenaan sejak 30 tahun lalu dan pada tahun ini menyasarkan pemberian 5,000 penerima di beberapa kawasan.
Tambahnya, setakat ini sekurang-kurangnya 2,000 orang telahpun menerima sumbangan seperti itu bukan sahaja di bandar malahan, di kawasan pedalaman. – MalaysiaGazette