Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil . Foto FAREEZ FADZIL, 14 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia mencari jalan yang sesuai untuk membantu pelakon, Jasmine Suraya Chin yang mahu menyambung pengajian dalam bidang lakonan peringkat pengajian ijazah sarjana di The Lee Strasberg Theatre and Film Institute, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya bersedia untuk meneliti kesulitan yang sedang dihadapi artis tempatan itu sekiranya perkara yang dikemukakannya bersesuaian.

“Saya belum dapat apa-apa perincian mengenai perkara itu. Insya-Allah saya akan meminta pejabat dan staf saya untuk meneliti dan kita akan bincang apakah yang boleh dibantu sekiranya bersesuaian dengan dan menepati syart yang diperuntukkan.

“Saya perlu kaji terlebih dulu dan lihat apa yang kita boleh bantu tetapi saya faham memang kebiasaannya untuk sesiapa yang mahu melanjutkan dalam bidang seni, dalam sebarang jurusan perfileman, muzik, teater,seni lukis dan sebagainya bukanlah satu usaha yang mudah atau murah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Ramadan CSR dan Iftar Perdana Lembah Pantai bersama Foodpanda Malaysia dan rakan kolaborasi di IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini hari ini.

Terdahulu pelakon itu dilaporkan terpaksa menjual beberapa barangan peribadinya termasuk kereta untuk menanggung kos pengajian selama setahun yang dikatakan menelan belana RM400,000 di Los Angeles bermula April ini.

Jasmine juga dikatakan  rakyat Malaysia pertama yang diterima masuk ke The Lee Strasberg Theatre and Fil Institut.-MalaysiaGazette