Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Legenda bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar sah kembali memperkuat pasukan utara, Kedah Darul Aman FC (KDA) pada musim ini dalam saingan Piala MFL

Perkara itu telah diumumkan secara rasmi pengurusan Sang Kenari menerusi laman sosial rasmi mereka sebentar tadi di mana Baddrol yang kini bergelar rakyat dilantik sebagai Pengurus Pasukan KDA B.

“Selamat kembali BB7 walaupun keutamaan sebagai seorang wakil rakyat menjadi tugasan baharu beliau, cintanya kepada bola sepak tidak pernah pudar.

“Pihak pengurusan KDA FC melantik beliau sebagai Pengurus Pasukan KDA FC B yang akan beraksi di kejohanan Piala MFL (B23) musim ini.

“Manakala Mohamad Khairul Ismail akan mengetuai pasukan sebagai Ketua Jurulatih Pasukan KDA FC B,” kata kenyataan itu di Facebook KDA di sini hari ini.

Baddrol, 35, merupakan bekas pemain Kedah dan Sabah FC itu kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Gurun selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah pada Ogos tahun lalu.

Untuk rekod, Baddrol mula mewakili Kedah bersama skuad Piala Presiden sebelum diserapkan ke pasukan utama pada 2006.

Bersama Kedah, bekas pemain tengah itu berjaya meraih pelbagai kejuaraan utama dalam Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Liga Perdana dan Piala Sumbangsih.

Dia juga pernah beraksi bersama skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Pada PRN Ogos lalu, Baddrol memenangi kerusi DUN Gurun dengan memperoleh 17,771 undi sekali gus mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari yang meraih 11,187 undi. – MalaysiaGazette