Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing mengekalkan momentum jualan di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, dengan menjual sejumlah RM313.8 juta ekuiti tetapi 24.4% lebih rendah dari minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, pelabur asing menjadi penjual bersih dari Isnin hingga Rabu berjumlah RM757.5 juta dan belian bersih RM443.7 juta pada Khamis dan Jumaat berikutan sentimen yang bertambah baik selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dengan tiga pemotongan kadar masih dalam perancangan.

Di Malaysia, Bank Negara Malaysia juga meramalkan pertumbuhan 4% hingga 5% pada 2024, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan peningkatan dalam permintaan.

Sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi pada Khamis ialah hartanah (RM100.1 juta), tenaga (RM21.6 juta) dan pembinaan (RM14.1j).

Sementara itu, sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (-RM272.3 juta), produk & perkhidmatan pengguna (-RM123.8 juta) dan utiliti (-RM93.2 juta).

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur institusi pula meneruskan aliran belian bersih untuk minggu keempat berturut-turut apabila membuat belian bersih RM442.7 juta.

Berbanding dengan pelabur asing, pelabur institusi membeli bersih RM835.3 juta dari Isnin hingga Rabu dan menjadi penjual bersih –RM392.6 juta pada Khamis dan Jumaat.

Manakala pelabur runcit pula mengekalkan jualan bersih setiap hari kepada -RM128.8 juta minggu lepas, sekali gus menjadi penjual bersih untuk 12 hari dagangan berturut-turut.

Dari segi penyertaan, purata volum dagangan harian (ADTV) meningkat dalam kalangan pelabur runcit dan institusi sebanyak +2.6% dan +3.1% masing-masing manakala pelabur asing menyaksikan penurunan sebanyak -29.2%. – MalaysiaGazette