Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya kerana disyaki menerima rasuah untuk melindungi aktiviti haram sekitar Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pegawai kanan dan seorang anggota polis selepas dipercayai terbabit dalam rasuah bagi melindungi aktiviti haram sekitar ibu negara.

Kedua-dua individu itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam oleh SPRM untuk permohonan perintah reman.

Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Farhana Mohd Najib telah membenarkan suspek utama iaitu pegawai kanan polis itu direman selama tiga hari sehingga 26 Mac ini.

Manakala suspek kedua telah direman selama satu sehari untuk membantu siasatan lanjut.

Sumber berkata, suspek utama iaitu lelaki berusia 40-an disyaki menerima suapan antara tahun 2021 hingga 2024 daripada sindiket dalam bentuk tunai sebagai balasan melindungi aktiviti haram melibatkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar ibu kota.

“Hasil penahanan ke atas suspek, SPRM turut menemui sejumlah wang bernilai lebih RM1.2 juta hasil serbuan di beberapa premis miliknya.

“Suspek utama telah ditahan di Putrajaya kelmarin manakala suspek kedua yang merupakan anggota bawahannya ditahan pada hari yang sama di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi  tengahari tadi telah mengesahkan tangkapan kedua-dua individu tersebut.

Tegas beliau kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenalpasti dalang lain yang terlibat dalam kes tersebut.-MalaysiaGazette