Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut ditumbuk oleh lelaki warga asing selepas disyaki terlibat dalam perlisihan faham semasa berhibur di sebuah premis di Sea Park, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan awam yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, lelaki warga asingĀ  terlanggar badan mangsa berusia 40-an ketika sedang berhibur di kelab malam itu sebelum berlaku pertengkaran.

“Suspek tidak berpuas hati selepas didapati mangsa ada menendangnya sedikit menyebabkan dia terus melepaskan satu tumbukan ke arah mangsa.

“Akibat tumbukan itu mangsa terus terjatuh di lantai premis dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Tambah Shahrulnizam, susulan kejadian itu, sepasukan polis telah berjaya menahan lelaki warga asing terbabit bagi membantu siasatan lanjut.

“Suspek itu kini direman sehingga 29 Mac ini untuk membantu siasatan lanjut polis dan rakan mangsa yang disyaki terlibat sama dalam pergaduhan itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil bedah siasat juga mendapati punca kematian mangsa disebabkan akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette