Pemangku Sultan Johor,Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menerima mengadap Onn Hafiz pada hari ini bagi mendengar isu melibatkan operasi di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menerima mengadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini hari ini bagi mendengar isu melibatkan operasi di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

Pertemuan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor itu memberitahu, pelbagai isu terkini dibincangkan khususnya mengenai urusan operasi imigresen, pemprosesan trafik harian, purata masa menunggu untuk pemeriksaan imigresen serta penambahbaikan yang perlu di BSI dan KSAB.

Pertemuan itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Ir Ts Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir serta Ketua Pegawai Penyelaras BSI dan KSAB, Suraya Hanim Sith.

Turut serta Ketua Imigresen BSI, Adam Abu Hanipah,Timbalan Ketua Imigresen (Kawalan) BSI, Vimala Ramalinggam; Ketua Imigresen KSAB, Siti Hajar Mohd dan  Timbalan Ketua Imigresen KSAB, Ahmad Atturmudzy Mohd Yusof.

Terdahulu Onn Hafiz membuat lawatan mengejut di BSI semalam selepas menerima banyak aduan daripada orang ramai.

Menteri Besar Johor itu juga melahirkan rasa kesal dan kecewa apabila mendapati lebih 13 kaunter di laluan kereta di BSI tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan.

Perkara itu juga jelasnya telah dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan amat berharap agar isu itu mendapat perhatian sewajarnya. – MalaysiaGazette