Dr Akmal Saleh

JASIN – Melaka bercadang mewujudkan ladang bawang asnaf yang diusahakan golongan itu bermula tahun depan bagi meningkatkan taraf hidup sekali gus terkeluar daripada paras pendapatan garis kemiskinan (PGK).

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka Dr Akmal Saleh berkata, usaha itu juga dilihat dapat meningkatkan tahap sara diri (SSL) bawang negara yang masih terlalu rendah.

Menurutnya, kerajaan negeri menyasarkan 50 peserta dalam kalangan penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebagai peserta awal.

“Syaratnya, asnaf ini mestilah berusia bawah 50 tahun yang masih sihat supaya boleh mengikuti latihan pertanian percuma dari mula sampai akhir sehingga dapat menuai bawang sendiri.

“Modal mereka cuma kudrat kerana semua perbelanjaan awal akan diuruskan Pertubuhan Peladang dan agensi pelaksana lain termasuklah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutan (FAMA) akan diwajibkan membeli semua hasil tanaman itu,” katanya.

Dr Akmal menyampaikan sumbangan kepada asnaf

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata demikian pada Program Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Jasin kepada 308 penerima asnaf di Lipat Kajang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dr Akmal berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti beberapa bidang tanah milik kerajaan yang terbiar termasuk tanah di bawah pencawang elektrik bagi merealisasikan perkara itu.

“Fokus utama kita adalah untuk mengurangkan bilangan asnaf di negeri ini, sebagai contoh hari ini ada 308 asnaf, mungkin tahun depan berkurangan kepada 200 orang kerana ramai yang sudah melepasi paras garis kemiskinan.

“Untuk permulaan, kita sasar 50 asnaf bermula awal tahun depan dan setakat ini saya dah bincang dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk laksanakan ladang ini di Melaka,” katanya.

Tambahnya, permohonan projek itu juga telah dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang menyambut baik termasuk mempunyai bajet untuk disalurkan melalui Pertubuhan Peladang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast