MELAKA – Jumlah pembayar zakat fitrah bagi pengguna beras jenis Super Import dan basmati di Melaka menunjukkan peningkatan setakat 15 Ramadan berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, peningkatan antara 10 hingga 15 peratus itu ekoran kesedaran orang ramai menunaikan kewajipan mengikut harga beras semasa berdasarkan gred.
“Setakat hari ini, kita lihat ada peningkatan bagi kadar RM14 dan RM21 daripada amil dilantik yang meminta tambahan kupon itu menerusi enam saluran disediakan.
“Kita berharap momentum ini akan terus meningkat sehingga ke akhir Ramadan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Tautan Kasih Ramadan anjuran Zakat Melaka di sini hari ini.
Perasmian disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim.
Mengulas lanjut, Mohamad Azmi berkata, peningkatan itu sekali gus mampu mencapai sasaran kutipan zakat fitrah RM5.9 juta tahun ini berbanding RM5.6 juta tahun lalu.
Kadar zakat fitrah untuk umat Islam di negeri ini pada tahun 2024 dikekalkan iaitu RM7, RM14 dan RM21 yang dipungut melalui 1,029 amil dilantik.
Penetapan kadar RM7 ditetapkan untuk pengguna beras Super Special Tempatan lima peratus, RM14 (beras Super Import, beras perang, beras pulut, Herba Ponni dan beras wangi).
Kadar kadar RM21 pula untuk umat Islam yang memakan beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya. – MalaysiaGazette