KUALA LUMPUR – Seorang warga emas berusia 70-an hampir menemui ajal selepas kediamannya dijilat api dalam kejadian Lorong Kemanis, Bukit Bandaraya di sini malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan kira-kira pukul 8.12 malam.
Katanya, seramai 49 anggota dari empat balai bomba digegaskan ke lokasi kejadian untuk memadam api.
“Bagaimanapun, sejurus tiba di lokasi kita dapati rumah yang berkeluasan 70 X 50 kaki persegi itu hanya 40 peratus sahaja yang terbakar.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya dengan tindakan pantas pasukan petugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seorang warga emas yang berada di dalam rumah itu berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan. – MalaysiaGazette