Datuk Khatijah Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bagaikan sudah menjadi trend, setiap kali menjelangnya musim perayaan Aidilfitri, akan ada lagu raya baharu yang sering dijadikan parodi oleh netizen atau warga siber mahupun pempengaruh sehingga menjadi tular dan ikutan dalam media sosial khususnya TikTok.

Sebelum ini, lagu bergenre pop disulami dengan irama tradisional iaitu Raya Raya Raya nyanyian kumpulan artis wanita Dolla menjadi popular dan parodi lagu itu mencipta sohor kini sehingga pelbagai peringkat umur turut serta termasuklah yang berkeluarga.

Kini, media sosial hangat dengan kemeriahan parodi lagu Alamak Raya Lagi, dendangan kumpulan De Fam yang dianggotai Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana sehingga berjaya menambat hati ramai.

Perkara ini dapat dilihat apabila muzik catchy lagu berkenaan yang bergenre pop dan turut menggabungkan irama tradisional serta dangdut berjaya mencecah lebih 1.5 juta tontonan di platform YouTube sejak diperkenalkan awal Mac lepas,

Biarpun begitu, di sebalik pelbagai lagu raya alaf baharu yang dihasilkan serta diterima baik peminat, kebiasaannya ia tidak mampu bertahan lama sepertimana “aura” dan “kuasa” lagu raya klasik sedia ada yang lebih malar segar serta terus mendapat tempat di hati pendengar.

Lagu Selamat Hari Raya nyanyian Biduanita Negara Puan Sri Saloma misalnya, antara lagu wajib didendangkan di stesen radio tempatan biarpun sudah lima dekad diterbitkan, begitu juga dengan lagu-lagu lain yang terus diminati dan mempunyai perasaan sangat dekat setiap kali tibanya Aidilfitri.

Ini termasuklah Dendang Perantau nyanyian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Aidilfitri (Sanisah Huri), Seloka Hari Raya (Uji Rashid dan Hail Amir), Dari Jauh Ku Mohon Maaf (Datuk Sudirman Arshad), Suasana Di Hari Raya (Anuar Zain dan Ellina) serta Sesuci Lebaran (Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin).

Ada sebabnya mengapa ia masih terus utuh bertahan dan bagi penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza berpandangan kekuatan lagu raya lama terletak pada melodi dan liriknya yang lebih “berjiwa”.

“Melodi dan lirik yang dihasilkan itu melangkaui masa dan apabila mendengar lagu berkenaan, secara tidak langsung akan membawa kita kembali kepada memori paling menarik dalam hidup iaitu semasa menyambut hari raya zaman kanak-kanak dan kerana itu ramai suka mendengarnya.

“Selain itu, penggunaan alat muzik Melayu yang dekat di hati khususnya orang Melayu juga boleh diambil kira. Muzik, melodi dan lirik sebegini kemeriahannya lebih terasa,” katanya kepada Bernama.

Biarpun begitu, pelantun lagu Air Mata Syawal ini tidak menyekat penghasilan lagu raya baharu mengikut kreativiti dan peredaran masa, namun melodi dan gubahan liriknya penting mengambil kira semangat membangkitkan kemeriahan berkumpul bersama keluarga.

Begitu juga dengan penyanyi popular 1990-an, Nizam Laksama yang berpandangan lirik yang rumit bahasanya tidak sesuai serta tidak mempunyai “jiwa” dan mencerminkan lebaran antara faktor menyebabkan lagu raya baharu tidak mampu bertahan lama.

“Berbanding lagu malar segar, bait liriknya sangat sesuai dan tepat dengan melodi. Selepas era 2000-an, kebanyakan lagu raya tidak kekal lama kerana melodinya bukan melodi hits sebaliknya hanya sedap didengar dan seterusnya akan dilupakan,” katanya.

Tidak sekadar melihat kepentingan gubahan melodi dan lirik yang bernostalgia, penyanyi legenda Datuk Khadijah Ibrahim berkata penyanyi juga perlu bijak mempromosi lagu mereka bagi memastikan ia terus kekal malar segar.

“Dulu, ibu (Khatijah) sendiri pergi pelbagai tempat (mempromosi lagu) dan kerap nyanyikan lagu ini (bingkisan untuk perwira). Ibu akan temui peminat-peminat walaupun di pedalaman … sekarang pendekatannya berbeza, maka gunalah cara yang ada,” katanya sambil menasihati penyanyi baharu untuk terus berkarya dan menghasilkan naskhah yang boleh dijadikan warisan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast