Seorang warga emas ditemui mati selepas sesat ketika mendaki bukit di Shah Alam dalam kejadian semalam.Ihsan IPD Shah Alam

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia setelah tersesat ketika mendaki bukit dalam kejadian di Persiaran Shorea Seksyen U16, Shah Alam, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa berusia 64 tahun dilaporkan telah mendaki bukit berkenaan seorang diri Selasa jam 9.30 pagi.

“Namun, lelaki itu didapati telah menghubungi anaknya pada jam 3.43 petang setelah gagal menemui jalan turun bukit untuk pulang ke rumah.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong telah bergegas ke lokasi kejadian sebelum memulakan gerakan mencari dan menyelamat namun gagal,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, gerakan mencari mangsa telah disambung hari ini dan sekitar jam 7.50 malam tadi mangsa dijumpai oleh orang awam di bukit tersebut.

“Pemeriksaan mendapati mangsa telah meninggal dunia dan mayat telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya.

“Kes berkenan telah diklasifikasikan sebagai “kematian mengejut” dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini boleh menyalurkannya kepada Inspektor Saipol Paizi (Pegawai Penyiasat Kes) di talian 012-5781435 untuk membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette