penjara
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang Jaya mengecam tindakan seorang lelaki yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah secara terbuka yang tular di media sosial sejak 23 Mac lalu.

Ketuanya, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, tindakan itu disifatkan sebagai satu penghinaan dan tidak boleh diterima, apatah lagi menyentuh agama Islam dan Institusi Diraja.

“Saya menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan tegas sehingga tertangkapnya suspek ini tanpa mengira kedudukan atau statusnya.

“Kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian atau menghina agama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, video berdurasi lebih dua minit tular di media sosial pada 23 Mac yang memaparkan lelaki tersebut mengeluarkan beberapa kenyataan berunsur perkauman dan keagamaan ketika menyentuh beberapa isu dalam Malaysia.

Antaranya, dia mendakwa isu 3R (agama, kaum dan raja) hanya berfungsi untuk orang bukan Islam.

Lelaki yang dipercayai berbangga India itu juga mendakwa PDRM pantas mengambil tindakan terhadap kepada rakyat berbangsa Cina yang menghina Islam.

Bagaimanapun, tindakan sama tidak diambil terhadap beberapa individu seperti Zakir Naik, Firdaus Wong dan Zamri Vinoth yang dakwanya menghina agama bukan Islam.

Fariz juga berkata, kes 3R itu menunjukkan betapa pentingnya keselamatan dan keamanan negara serta menjaga kesopanan dan martabat institusi utama.

Katanya, tiada tempat bagi individu yang melanggar undang-undang dan melecehkan kepercayaan agama masyarakat berbilang kaum di negara ini khususnya Islam agama Persekutuan.

“Memandangkan lelaki yang dikenali sebagai Ganesparan Nadaraja, 38, telah melarikan diri ke luar negara sejak November 2017, pihak berkuasa perlu sekat dia daripada datang ke negara ini.

“Bukan itu sahaja, suspek perlu dihukum sewajarnya dengan menarik balik taraf kewarganegaraannya.

“Tindakan tegas harus diambil untuk memastikan keadilan dan ketenteraman awam dijaga,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menyeru rakyat Malaysia bersatu padu dalam menentang segala bentuk penghinaan terhadap simbol-simbol kebanggaan negara, termasuklah institusi kesultanan.

“Kerajaan dan masyarakat tidak boleh memberi ruang kepada manusia durjana yang cuba mencabuli keamanan negara dan memperleceh nilai-nilai yang dihormati oleh rakyat Malaysia.

“Tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa untuk memastikan suspek ini dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Konten kedua yg dibuat oleh manusia ni..tetapi masih tidak ada tindakan dari pihak berkuasa Malaysia..KENAPA..Adakah kerana tiada dlm Malaysia atau ?????

Comments are closed.