Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan ke Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban bagi meninjau persediaan PLUS dalam menghadapi pertambahan trafik di lebuh raya utara-selatan sempena perayaan Aidilfitri ketika di Seremban, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 28 MAC 2024.

SEREMBAN – Sebanyak 2.46 juta kenderaan dijangka berada di semua lebuh raya utama seluruh negara menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitiri tidak lama lagi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nantha Linggi berkata, pengumuman tol percuma untuk 8 dan 9 April ini bakal menyumbang kepada peningkatan itu, menyaksikan rakyat mengambil peluang untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing.

Sehubungan itu menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan mereka dengan mematuhi jadual waktu perjalanan mereka yang disarankan oleh Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Berhad dengan memuat turun aplikasi My-PLUS-TTA

“Menerusi aplikasi ini, pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian mengelak kesesakan.

“Selain itu kementerian juga memperkenalkan aplikasi aduan iaitu MyJalan KKR berkonsepkan ‘No Wrong Door Policy’ yang mana ia menerima semua jenis aduan berkaitan jalan raya seperti kerosakan, infrastruktur termasuk jalan raya yang bukan di bawah seliaan KKR demi tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas turun meninjau Rumah Rehat dan Rawat Seremban arah Selatan bersama Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Ir.Dr. Sazali Harun dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar.

Bagi memaksimumkan keberkesanan penggunaan kedua-dua aplikasi itu dengan efisien, KKR dan PLUS mengintegrasikan aplikasi MyPLUS-TTA ke dalam aplikasi MY Jalan KKR dan sebaliknya.

“Pengguna hanya perlu muat turun kedua-dua aplikasi ini yang hanya dilaksanakan pada setiap musim cuti perayaan untuk memanfaatkan pengguna,” jelas beliau.

Bagi melancarkan laluan trafik sepanjang Aidilfitri, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama syarikat konsesi lebuhraya iaitu PLUS akan mengaktifkan sebanyak 18 lorong pintar atau smart lane di sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan.

“Kesemua 18 ‘smart lane’ ini diaktifkan di lokasi kesesakan kritikal yang dikenalpasti untuk menambah kapasiti dan kelancaran aliran trafik.

“Sebenarnya lorong kecemasan di lebuh raya telah dijadikan sebagai smart lane hanya pada situasi hyang memerlukan iaitu apabila berlaku kesesakan teruk di lebuh raya nanti.

“Kita akan meletakkan papan tanda yang dinaik taraf dengan lampu isyarat hijau yang akan berkelip-kelip sebagai tanda awal menunjukkan seseorang pengguna bahawa mereka menghampiri smart lane yang diaktifkan semasa kesesakan teruk berlaku di lebuh raya nanti.

“Kalau pada sambutan Tahun Baharu Cina 2024 Februari lalu, kita membuka 15 lorong smart lane di lebuh raya utama seluruh negara dan kali ini ditingkatkan kepada 18 untuk melancarkan aliran trafik mengelak berlaku kesesakan teruk,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast