Ketua Penerangan MIC, R. Thinalan.

KUALA LUMPUR – MIC menggesa kewarganegaraan N. Ganesparan yang memuat naik video menghina agama Islam, Sultan Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilucutkan.

Ketua Penerangan MIC, Thinalan Rajagopalu berkata, ia bukan kali pertama lelaki yang disyaki berada di Jerman itu merakamkan video dengan isu sensitif yang mengutuk institusi beraja, agama dan politik.

“Polis sendiri sudah mendedahkan sejak 2018 sehingga kini, sebanyak 22 kes telah dibuka terhadapnya.

“Malah pada 2021, polis telah membuat pertuduhan di mahkamah tanpa kehadiran Ganesparan kerana ketika itu telah menghina Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Kini dia buat lagi.

“Individu seperti inilah yang menjadi ancaman kepada perpaduan, keharmonian negara sehingga menyebabkan kegusaran awam selain membangkitkan sensitiviti agama yang boleh menyebabkan pergolakan serta perpecahan kaum dan bangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Thinalan, pelucutan kewarganegaraan juga dilakukan kerana Ganesparan tidak lagi setia kepada negara melalui tindakanya itu, seperti termaktub dalam perlembagaan. – MalaysiaGazette