KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana disyaki melanggar syarat sah lesen di kedudukan lebih kurang 1.1 batu nautika dari barat daya Telok Mokut, Pulau Tioman pada pukul 4.40 petang, semalam.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot terbabit dikesan ketika sedang bergerak dari Telok Mokut menuju ke Pulau Seri Buat oleh pasukan Maritim Malaysia dalam rondaan Op Makmur, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut di sekitar perairan negeri Pahang.
“Pemeriksaan awal mendapati, tekong dan seorang kru merupakan warganegara Malaysia, manakala tiga kru lagi merupakan warga Myanmar dan kesemua mereka berumur dalam lingkungan 39 hingga 64 tahun.
“Manakala hasil pemeriksaan lanjut mendapati, tekong dan kesemua kru tiada sebarang dokumen permit kerja dan pendaftaran lesen bot,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen permit kerja dan pendaftaran lesen yang sah untuk beroperasi di atas bot dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Bot tersebut bersama kesemua kru termasuk tekong, termasuk hasil laut yang dianggarkan sebanyak 100 kilogram dan peralatan menangkap ikan ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09- 5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette