Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan kebenaran Mahkamah Rayuan untuk menyemak keputusan yang dibuat oleh panel hakim sebelum ini yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.

Pada 28 Februari tahun ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan.

Berdasarkan notis usul yang diperoleh media, Muhyiddin memfailkan permohonan itu semalam melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani dan Syarikat.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik  ketika dihubungi Bernama mengesahkan pemfailan permohonan kebenaran itu.

Beliau berkata, pihak pembelaan akan menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Pada 1 Mac tahun ini, Muhyiddin telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah rayuan mengembalikan semula empat pertuduhan terhadapnya.

Dalam notis usul, Muhyiddin memohon mahkamah mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan sebelum ini dan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Ogos 2023 yang telah membatalkan pertuduhan serta melepas dan membebaskannya daripada empat pertuduhan itu.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah terbatal/atau menyalahi undang-undang kerana ia dibuat di luar bidang kuasa yang diberikan mengikut Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Muhyiddin, 76, sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd dan Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun Bank CIMB Bersatu.

Muhyiddin didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 dan antara 8 Feb dan 8 Julai 2022. – BERNAMA