KUALA LUMPUR – Seorang pembantu bengkel ditahan kerana disyaki terlibat dalam perarakan pengkebumian dan membakar mercun di atas jalan di pekan Banting, semalam.

Dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam insiden itu kini diburu polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pihaknya menerima aduan orang awam mengenai insiden tersebut di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasaraya The Store pada jam 2.28 petang semalam

Katanya, bertindak atas laporan itu polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Bertindak atas aduan itu sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki pada jam lebih kurang 3.30 petang Rabu di kawasan Pekan Banting.

“Hasil semakan mendapati suspek seorang warga tempatan berusia 28 tahun dan bekerja sebagai pembantu bengkel di Banting,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, siasatan mendapati suspek terlibat dalam perarakan upacara pengkebumian dan membakar mercun di atas jalan semasa trafik sibuk dengan kenderaan.

Tambah beliau, suspek memiliki tujuh rekod kesalahan lampau jenayah dan narkotik.

Beliau berkata, hasil ujian saringan juga mendapti suspek positif Amphetamine dan syabu.

Katanya, suspek juga dikenakan tiga saman kesalahan lalu lintas oleh Bahagian Trafik IPD Kuala Langat.

“Polis juga membuka dua lagi kertas siasatan ke atas suspek kerana kesalahan narkotik di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Banting dan polis memperhebatkan usaha mengesan dua lagi suspek yang turut terlibat dalam kejadian itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette