PUTRAJAYA – Lebih 10,000 pengunjung hadir Program Majlis Iftar Madani (MIM) yang berlangsung di Bulatan Dataran Putra di sini petang tadi yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa menteri Kabinet.
Program julung kali anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan 14 agensi agama Persekutuan dan beberapa rakan strategik itu dianjurkan sempena meraikan cuti Nuzul Quran.
Majlis ini diadakan bertujuan merapatkan persaudaraan dan kebersamaan masyarakat melalui perkongsian rezeki dan sekali gus dapat bersama-sama berbuka puasa dengan perdana menteri.
Selain itu, program ini juga membuka ruang kepada agensi kerajaan dan perdana menteri untuk mendekati, menyantuni serta merasai kondisi pelbagai lapisan rakyat, di samping menyuburkan semangat rahmah dan perpaduan di negara ini.
Sebanyak 10,000 pek juadah berbuka dan bubur lambuk Kampung Baru turut disediakan kepada tetamu yang hadir.
Beberapa acara sampingan diadakan termasuk penampilan istimewa persembahan nasyid daripada Kumpulan Zawfan dan Awla; tazkirah oleh Ustaz Norazam Bahadur dan Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee serta dan Tausiyah Ramadan oleh Ustaz Abdul Hadi Bakri.
Majlis Iftar Madani ini juga dapat menarik kehadiran pelancong asing yang ingin menimba pengalaman menikmati juadah berbuka puasa di negara ini.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut berkesempatan menyaksikan majlis sumbangan sebanyak RM110,000 daripada beberapa agensi korporat termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Terdahulu, Perdana Menteri yang tiba kira-kira pukul 6.50 petang sempat menyantuni orang ramai di Bulatan Dataran Putra sebelum berbuka puasa di Masjid Putra. – MalaysiaGazette