Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Izwan Zainuddin ketika program Berkongsi Rezeki Ramadan bersama anak-anak Pertubuhan Rahoma Darul Fakir di Hypermarket Mydin, Subang Jaya Selangor. Foto SYADILA AMARI, 28 MAC 2024.

SUBANG JAYA – Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB) akan menyalurkan RM300 juta daripada kerajaan untuk tujuan pembiayaan usahawan Bumiputera pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izwan Zainuddin berkata, daripada jumlah tersebut pihaknya mensasarkan 450 syarikat Bumiputera yang akan menerima manfaat pembiayaan.

“Berbanding tahun lepas kita masih dapat peruntukan RM200 juta dan pada masa yang sama kita terima peruntukan Madani RM100 juta pada Oktober,” katanya ketika ditemui pada program Kongsi Rezeki Ramadan 2024 di Mydin.

Turut hadir, Pengerusi PUNB Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Katanya, sehingga Mac tahun ini sebanyak RM35 juta telah digunakan untuk membiayai syarikat Bumiputera yang layak.

“Pembiayaan tertakluk kepada mandat. Kita fokus kepada industri peruncitan dan pemborong,” tambahnya.

Sementara itu Izwan berkata, PUNB memperkenalkan Prosper Impact – Islamic Financing for Projects and Contracts untuk membantu syarikat Bumiputera yang mendapat kontrak daripada kerajaan, agensi kerajaan dan badan berkanun pada tahun ini.

“Program ini akan dapat membantu aliran tunai mereka untuk menjalankan dan melaksanakan projek,” katanya lagi.

Terdahulu katanya, PUNB tahun lalu menerima peruntukan sebanyak RM200 juta daripada kerajaan. – MalaysiaGazette