Rampasan dokumen perjalanan menerusi tangkapan dua dalang utama sindiket ejen pekerja asing oleh IMIgresen di Jalan Duta semalam.Ihsan JIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pekerja asing yang menawarkan pendaftaran program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0) untuk pekerja asing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dua lelaki asing yang terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh disyaki menjadi dalang utama menggerakkan kegiatan haram sindiket berkenaan diberkas dalam operasi khas di Jalan Duta, semalam.

Katanya, operasi khas itu dijalankan pada jam 1.30 tengah hari melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Pasukan Imigresen telah menjalankan risikan selama dua minggu bertindak atas aduan yang diterima sebelum pasukan operasi telah mengatur gerak operasi khas itu menggempur sindiket terbabit.

Rampasan dokumen perjalanan dan sejumlah besar wang tunai menerusi tangkapan dua dalang utama sindiket ejen pekerja asing oleh IMIgresen di Jalan Duta semalam.Ihsan JIM

“Hasilnya, kita berjaya mengesan dan mengekori suspek sewaktu pertemuannya dengan seorang lagi suspek di satu lokasi sekitar Jalan Duta sebelum membawa kepada tangkapan ke atas dua orang suspek utama iaitu seorang lelaki warganegara Myanmar dan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 50 hingga 52 tahun yang disyaki sebagai ‘dalang utama’ sindiket itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, hasil semakan awal juga mendapati suspek adalah warganegara Myanmar yang berstatus Pemastautin Tetap (PR) dan warganegara Bangladesh yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi Sektor Perkhidmatan yang masih sahlaku.

Justeru katanya, siasatan juga mendapati kedua-dua suspek ini telah berkahwin dengan warga Malaysia.

“Tangkapan kedua-dua suspek itu turut membawa pasukan operasi merampas wang tunai sebanyak RM91,550, sebanyak 12 naskhah pasport Bangladesh, senaskhah pasport Indonesia, dokumen syarikat, dokumen permohonan program Rekablirasi Tenaga Kerja (RTK) dan tiga unit telefon bimbit.

Suspek warga asing ditahan dalam serbuan ke atas sindiket ejen pekerja asing di jalan duta semalam. Ihsan JIM

“Modus operandi sindiket adalah menjalankan aktiviti sebagai ejen pekerja asing bagi program RTK 2.0 dengan mensasarkan warganegara sumber seperti Bangladesh dan Indonesia dan menawarkan perkhidmatan seperti urusan pendaftaran permohonan program RTK 2.0 di Pejabat Imigresen dan dipercayai telah menjalankan operasi selama satu tahun dengan mengenakan bayaran antara RM1,500.00 hingga RM2,000.00 kepada setiap pekerja asing ini,” ujar beliau.

Ruslin berkata, kedua-dua suspek warga asing berkenaan ditahan selepas disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Katanya, mereka kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Suspek warga asing ditahan dalam serbuan ke atas sindiket ejen pekerja asing di jalan duta semalam. Ihsan JIM

“Dalam perkembangan berkaitan, dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan diberikan Notis untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan lanjut dalam kes ini.

“Jabatan kami akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan
Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast