Penghuni Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Asmawati Abdul Ghani, 15 tidak dapat menahan kesedihan berkongsi cerita sedih ketika program Berkongsi Rezeki Ramadan anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Hypermarket Mydin, Subang Jaya Selangor. Foto SYADILA AMARI, 28 MAC 2024.

SUBANG JAYA – Belum sampai sebulan menjadi penghuni Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, seorang remaja perempuan tidak dapat menahan rasa sedih mengenangkan kali pertama meraikan Ramadan tanpa ibu tercinta.

Air mata Asmawati Abdul Ghani, 15 tahun bergelinangan ketika membeli persiapan menyambut Aidilfitri.

Ujarnya, jika sebelum ini dia dapat bersama ibunya di Kedah namun situasi sangat berbeza pada tahun ini apabila ibunya tidak mampu menjaganya.

“Saya sedih sebab hari raya tahun ni tidak ada mak, bulan puasa pun tiada dia. Mak kat Kedah. Tapi raya pertama jumpa sekejap nanti saya sedih. Bapa sudah tiada,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada program Kongsi Rezeki Ramadan 2024 di Mydin, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diusahakan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), hari ini.

Selain itu salah seorang penghuni rumah itu sejak dua tahun yang lalu Keisha Arianna Abdul Rahman,17, menganggap takbir raya di pagi Syawal akan menyentuh hatinya nanti.

Katanya, ini kerana remaja itu sedar tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta yang berhadapan dengan kekangan kewangan.


Temubual penghuni Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Keisha Arianna Abdul Rahman,17 ketika program Berkongsi Rezeki Ramadan anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Hypermarket Mydin, Subang Jaya Selangor. Foto SYADILA AMARI, 28 MAC 2024.

Bagaimanapun, beliau gembira dapat meraikannya bersama-sama rakan-rakan yang senasib dengannya di rumah tersebut.

“Kalau dengar takbir raya memang sedih sebab dulu beraya dengan keluarga tapi sekarang tidak boleh. Bila dapat beraya dengan kawan-kawan di sini adalah satu pengalaman baru, meskipun baru kenal namun banyak aktiviti sekelompok bersama,” katanya.

Nurien Samara Emellda Abdullah, 17, pula sempat berkongsi keterujaannya kerana kali pertama dapat berbelanja persiapan menyambut Hari Raya ditaja oleh PUNB.

Beliau yakin rakan-rakan lain juga gembira kerana tahun ini dapat memakai busana baru.

Temubual penghuni Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Nurien Samara Emellda Abdullah, 17 ketika program Berkongsi Rezeki Ramadan anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Hypermarket Mydin, Subang Jaya Selangor. Foto SYADILA AMARI, 28 MAC 2024.

“Baru setahun, saya sangat seronok dapat beraya dengan kawan-kawan saya. Ini kali pertama dibelikan baju hari raya, keperluan, ramai-ramai bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PUNB. Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, seramai 35 anak-anak daripada Pertubuhan Rahoma Darul Fakir diraikan hari ini.

“Kita raikan mereka untuk membeli belah beli baju raya dan keperluan lain yang mereka fikirkan perlu. Pihak pengurusan PUNB telah memutuskan memberikan peruntukan RM400 setiap orang untuk mereka gunakan membeli keperluan persiapan.

Pengerusi Perbadanan Usahawan Naional Berhad (PUNB) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) beramah mesra dengan penghuni Pertubuhan Rahoma Darul Fakir ketika program Berkongsi Rezeki di Hypermarket Mydin, Subang Jaya Selangor. Foto SYADILA AMARI, 28 MAC 2024.

“Ini program pertama kali kita bawa anak-anak kurang berkemampuan membeli belah sebelum ini kita hulurkan bantuan secara langsung,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin dam Presiden Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Datuk Faridah Omar Shah. – MalaysiaGazette