Anthony Loke

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri meluluskan cadangan pembangunan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kelulusan yang dibuat pada 22 Mac lalu menandakan kerajaan Persekutuan mengambil alih projek itu daripada kerajaan Pulau Pinang.

Jelasnya, kerja-kerja pembinaan projek itu disasarkan bermula tahun ini dan dijangka mula beroperasi pada 2030.

“Maka kerajaan memutuskan melantik MRT Corp, syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan sebagai pemaju dan pemilik aset projek berkenaan.

“Pelaksanaan projek ini akan dibuat secara tender terbuka manakala perolehannya akan terbahagi kepada tiga komponen utama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, Anthony tidak mahu mendedahkan anggaran jumlah keseluruhan projek itu kerana pihaknya perlu melakukan rundingan terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, antara syarat kerajaan Persekutuan mengambil alih projek itu ialah kerja penambakan laut daripada tiga pulau dihadkan kepada satu pulau sahaja.

Sementara itu, beliau turut memberi jaminan pembangunan projek berkenaan tidak mengancam kedudukan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Saintifik, Pendidikan dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Tegasnya, ia sama sekali tidak akan berbangkit kerana semua pertimbangan sudah diambil kira termasuk kelulusan daripada pelaksanaan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Kesan Sosial (SIA).

Jajaran LRT Laluan Mutiara akan bermula dari Pulau Silikon hingga ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai bagi memberi ketersambungan kepada rangkaian keretapi KTM Komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) sedia ada.

Jarak jajaran dianggarkan lebih kurang 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast