Fadhlina (tengah) menyampaikan sumbangan kepada imam, bilal dan siak masjid dalam Parlimen Nibong Tebal hari ini.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mempertimbangkan cadangan pelantikan warden bukan dalam kalangan guru di sekolah berasrama bagi mengurangkan beban mereka termasuk kes buli.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya perlu melihat secara keseluruhan ekosistem sekolah bagi memastikan kesesuaian perjawatan orang luar sebagai warden.

“Cadangan itu kita pertimbangkan dan kalau ada keperluan serta keutamaan ketika ini, Insya-Allah. Jadi terima kasih kepada semua pandangan berkaitan penambahbaikan di sekolah dan asrama.

“Dalam masa sama, kita juga kena perkukuhkan semua ekosistem yang ada, untuk memastikan gejala buli ini benar-benar dapat ditangani di semua peringkat khususnya peringkat sekolah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, di sini, hari ini.

Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut Fadhlina berkata, pihaknya sentiasa memperkemaskan usaha menangani kes buli termasuk menambah baik garis panduan KPM dari semasa ke semasa.

“Kita juga sedang memperkasakan guru kaunseling bagi memberi sokongan kepada ekosistem displin di sekolah untuk mengatasi kes buli termasuk buli siber,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina menegaskan pihaknya memandang serius kejadian buli yang berlaku di Mukah, Sarawak baru-baru ini.

“Saya minta ibu bapa untuk sama-sama dengan pihak KPM dan guru dalam memberikan tumpuan kepada anak-anak kita.

“Seperti saya sebut tadi ekosistem ini penting ia tidak boleh berlangsung dengan peranan KPM sahaja tapi seluruh pihak termasuk komuniti untuk memastikan gejala ini benar-benar dapat kita perangi daripada akar umbi lagi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lima pelajar lelaki Tingkatan Lima ditahan polis kerana disyaki membuli seorang junior di asrama sekolah menengah di Mukah.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan kes itu pada 27 Mac namun siasatan mendapati ia berlaku pada 25 dan 26 Mac.

“Pelajar tingkatan dua itu dicederakan pada badan serta kemaluan oleh beberapa pelajar senior dengan alasan dia menghilangkan seluar mereka,” katanya. – MalaysiaGazette