KUALA LUMPUR – Bagi menceriakan golongan kurang bernasib baik, jenama produk kecantikan Noir akan menyumbang 1,000 baju raya percuma kepada mereka yang memerlukan menjelang 1 Syawal ini.
Pengasas Noir yang juga usahawan selebriti, Eriyca Baiduri berkata, penyerahan baju raya jenama Sabella akan diadakan di ibu pejabat pakaian itu pada Sabtu ini.
“Saya lihat ramai yang masih belum membuat persiapan raya dan ada yang tidak mampu membeli pakaian baharu.
“Dengan itu, saya berbesar hati untuk menyumbangkan 1,000 pasang baju Sabella kepada para wanita yang benar-benar memerlukan” katanya dalam video secara langsung menerusi Instagram.
Eriyca Baiduri yang juga lebih kenali sebagai Madammu bagaimanapun memohon maaf sekiranya ada yang memohon bantuan baju raya itu menerusi penghantaran pos.
Ini kerana, katanya, pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan kerana risau pakaian tersebut tidak sampai tepat waktunya sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Niat saya bertujuan bagi menceriakan golongan kurang berkemampuan meraikan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette