KEPALA BATAS – “Saya jadi muslim setelah mendengar merdunya azan.”
“Bukan sahaja hati tenang malah sebelum ini saya sering tertanya-tanya apakah isi kandungan dan pengertian azan itu. Apabila mengetahuinya, saya ambil keputusan untuk mengucap dua kalimah syahadah”.
Itulah luahan hati seorang mualaf, Chong Yee Mun, 46, yang berasal dari Bayan Lepas sebaik sahaja melafazkan syahadah di Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah di sini baru-baru ini.
Sebaik sahaja bersyadah, Yee Mun bercadang memilih nama baharu iaitu ‘Fatimah’ berdasarkan dari nama puteri Rasullullah SAW.
Menceritakan lebih lanjut, wanita berkenaan berkata, setiap kali mendengar azan, hatinya sering tertanya-tanya apakah makna azan tersebut.
Malah, katanya, yang lebih penting azan itu bukan sahaja merdu, juga membuatkan hatinya tenang.
“Melalui seorang rakan wanita yang juga seorang mualaf, saya mendapat tahu azan itu bukan sahaja panggilan untuk mengerjakan solat malah membawa pengakuan bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah SWT dan nabi Muhammad itu utusan Allah.
“Dari pengertian azan itu, saya mengambil keputusan untuk bersyahadah,” katanya.
Yee Mun mengucap dua kalimah syahadah yang dipimpin Pengerusi Jawatankuasa Masjid At-Taqwa, Badrul Salleh dan disaksikan Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (myIKUT), Zolkifly Md. Lazim serta para jemaah masjid sebelum bersama-sama mengerjakan solat sunat tarawih.
Tambahnya, hasrat untuk peluk Islam telah lama tersemat di sanubarinya, namun tidak tahu cara untuk melakukannya.
“Melalui seorang rakan, saya telah dipertemukan dengan myIKUT. Penaung myIKUT, Zolkifly, telah memberi penerangan mengenai Islam dan baru saya faham mengenai agama ini,” katanya.
Sementera itu, Zolkifly memberitahu, ketika ditemukan, Yee Mun turut bertanya lebih lanjut mengenai pengertian azan.
“Dia juga lebih tenang apabila diberitahu pengertian azan dan mengakui langkah memeluk Islam dilakukan dengan sukarela sepenuh hati tanpa sebarang paksaan.
“Yee Mun sendiri memilih nama ‘Fatimah’ kerana dia tertarik dengan nama puteri Rasullullah SAW itu,” kata Zolkifly.
Tambah Zolkifly, seperti biasa myIKUT akan mendaftarkan Yee Mun untuk menjalani kursus mengenai agama Islam yang dikelolakan Jabatan Agama Islam negeri.
“Selain itu, myIKUT juga menyediakan kursus tambahan mengenai Islam termasuk yang dikendalikan dalam bahasa Hokkien dan Mandarin,” katanya. – MalaysiaGazette