Para tetamu mendengar perutusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara dalam talian pada sambutan Hari Al-Azhar Sedunia di Akademi Pengajian Islam, University Malaya, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini digesa mempertahankan tradisi ilmu yang dihidupkan universiti terulung Mesir, Al-Azhar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, saranan itu penting bagi memastikan timbul kesedaran meluas umat Islam terutamanya di rantau Asia Tenggara mengenai ilmu yang disampaikan oleh universiti berkenaan.

“Sejarah Islam mutakhir ini tidak terpisah daripada sejarah perubahan dan islah yang dibawa oleh Al- Azhar, samada Muhammad Rashid Rida (intelektual Islam di Syria), Muhammad Abduh (ilmuan Islam) dan Sheikh Mahmoud Shaltut (Imam Besar Al-Azhar).

“Ini sebati dengan seluruh garis perjuangan dan kesedaran umat islam di asia tenggara termasuk malaysia,” katanya.

Anwar berkata demikian menerusi video perutusannya yang ditayangkan pada Majlis Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2024M/1445H di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, hubungan akrab Malaysia dengan universiti berkenaan juga amat disyukuri oleh beliau.

Malah ia adalah sebuah ‘hadiah’ besar kepada Malaysia yang patut dinikmati oleh semua umat Islam di negara ini.

“Saya percaya kita akan manfaatkan bukan sahaja dapat bersama berkumpul jemaah alumni Al-Azhar tetapi kita akan manfaatkan waktu itu merencanakan program yang boleh dimanafaatkan umat Islam di negara ini keseluruhanya.

“Saya percaya rakan alumni Al-Azhar akan punyai peranan penting dalam mengatur dan menyusun program yang akan dapat memberi manafaat kepada rakyat negara ini,” katanya.

Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2024M/1445H yang dianjurkan oleh Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar (WOAG) Malaysia itu turut dihadiri Presiden WOAG Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti dan Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr. – MalaysiaGazette