FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengucapkan salam takziah kepada keluarga dua pelajar Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand.

“Saya juga mendoakan tiga lagi pelajar Malaysia yang tercedera dalam insiden ini dikurniakan kesembuhan sesegara mungkin,” ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran media sosialnya.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia menerusi Suruhanjaya Tinggi di New Zealand akan memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga.

Sebelum itu, Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand mengesahkan insiden yang berlaku pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch, sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette