Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin bercakap pada sidang media berkenaan kejayaan menumpaskan sendiket pengedaran dadah Syabu dan rampasan dadah bernilai RM10.3 Juta di IPK Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2024.

SHAH ALAM – Seorang pengurus bas persiaran yang mengkordinasikan satu sindiket pengedaran syabu bernilai RM10.3 juta ke pasaran Lembah Klang dan ke luar negara menerusi kurier berjaya ditumpaskan polis.

Suspek yang berasal dari Terengganu antara empat suspek yang berjaya ditahan dalam satu serbuan yang dilancarkan di Selangor 27 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya telah membuat serbuan sekitar 7.30 malam di sebuah rumah teres di Shah Alam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin bercakap pada sidang media berkenaan kejayaan menumpaskan sendiket pengedaran dadah Syabu dan rampasan dadah bernilai RM10.3 Juta di IPK Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2024.

Katanya, pada masa yang sama pasukan turut melakukan serbuan serta pemeriksaan susulan di Kedah dan juga Terengganu namun tidak membawa kepada sebarang rampasan barang.

“Pemeriksaan di dalam rumah teres berkawalan keselamatan di Shah Alam yang disewa RM1,600 sebulan dan berjaya membawa tangkapan empat suspek lelaki warga tempatan berusia 23 hingga 40 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah menerusi khidmat kurier.

“Pemeriksaan lanjut pasukan serbuan ke atas lima kenderaan termasuk kenderaan jenis Toyota Vellfire berjaya membawa kepada rampasan dadah jenis syabu seberat 312.7 kilogram dianggarkan bernilai RM10.3 juta disimpan dalam ruang khas bonet yang diubahsuai,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Kok Chin, siasatan lanjut mendapati keempat-empat suspek tidak memiliki sebarang rekod kesalahan jenayah lampau serta negatif dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin bercakap pada sidang media berkenaan kejayaan menumpaskan sendiket pengedaran dadah Syabu dan rampasan dadah bernilai RM10.3 Juta di IPK Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2024.

Modus operandi sindiket  mereka bagi mendapatkan bekalan dari sebuah negara jiran dan dibawa masuk menerusi jalan darat ke dalam negara.

“Siasatan kami mendapati keempat-empat suspek itu berperanan sebagai penghantar dengan menerima upah antara minimum RM15,000 dan maksimum RM30,000 untuk membawa masuk dan mengedar bekalan dadah itu di Lembah Klang serta menyeludup ke luar negara menggunakan khidmat kurier.

 

“Salah seorang suspek merupakan pengurus bas persiaran berasal dari Terengganu berperanan sebagai kordinator urusan dadah dari Thailand dengan upah RM30,000 untuk satu trip manakala tiga lagi suspek iaitu seorang pemandu bas (37 tahun), dua peniaga kosmetik berusia 23 dan 35 tahun berperanan sebagai transporter dengan upah RM15,000 dan RM30,000 juga satu trip.

“Sindiket ini aktif sejak Oktober 2023 dan menggunakan modus operandi dengan membawa masuk bekalan syabu dari Thailand menggunakan kenderaan menerusi jalan darat di Bukit Kayu Hitam sebelum berhenti di Kedah untuk menyimpan bekalan itu di setor.

“Selepas memastikan tiada pergerakan individu mencurigakan menghidu atau mengekori mereka serta keadaan terkawal, sindiket itu akan meneruskan perjalanan bersama bekalan dadah itu ke rumah teres dua tingkat di Shah Alam bagi pengedaran dan penyeludupan di pasaran Klang dan diseludup ke luar negara menggunakan kurier,” ujarnya lagi.

Tegas Kok Chin lagi, kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 2 April ini bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Mengulas lanjut beliau juga tidak menafikan wujud kemungkinan pengurus bas persiaran itu menggunakan pengalamannya sebagai keluar masuk di sempadan negara untuk kegiatan terlarang itu dan siasatan sedang diteruskan ke arah itu.

“Kita juga sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti dalang utama yang berperanan di sebalik sindiket dadah ini dan setakat ini tiada sebarang petunjuk yang boleh mengaitkan sindiket ini dengan kongsi gelap.

“Bagaimanapun masih dalam siasatan lanjut kami,” ujarnya.-MalaysiaGazette