Penduduk sedang membeli beras tempatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette mengenai isu harga dan kekurangan bekalan beras tempatan ketika di pasaraya sekitar pasaraya Kota Kemuning, Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 31 MAC 2024.

PUCHONG – Isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) yang berlarutan sejak September tahun lalu dan kini hampir tiada langsung di pasaran berpunca daripada tindakan manipulasi kartel beras di negara ini.

Ketua Pasukan Petugas Pemantauan Kluster Makanan, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, BPT sebenarnya tidak hilang, sebaliknya ia dibungkus semula dengan menggunakan label beras putih import.

Beliau berkata, perkara itu terjadi susulan tindakan pengilang dipercayai mahu mengaut keuntungan berlipat kali ganda selepas membeli padi daripada pesawah sehingga RM1,900 satu tan metrik.

“Pengilang kemudiannya menjual BPT ini dengan harga lebih tinggi kepada pemborong kira-kira RM32 bagi 10 kilogram (kg) beras berbanding RM21.60 sebelum ini.

“Pemborong yang melakukan pecah pukal dan pembungkusan semula beras pula kemudiannya akan menjual kepada peruncit kira-kira RM36 berbanding RM22.50.

“Seterusnya peruncit pula akan menjual BPT ini kepada pengguna bermula RM38 hingga RM68 bagi setiap kampit 10kg,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Beliau berkata, lebih menghairankan apabila pengilang didapati berebut-rebut membeli beras daripada para pesawah serendah RM1,700 dan boleh mencecah sehingga RM1,900 bagi satu tan metrik.

“Apabila pengilang membeli padi pada harga tinggi, sudah tentu mereka kemudiannya mahu menjual beras itu pada harga yang lebih tinggi.

“Pengilang mahu menjual BPT sekurang-kurangnya RM30 berbanding RM26 sebelum bekalan BPT berkurangan di pasaran sejak September 2023,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang turut mendedahkan, ‘kehilangan’ BPT di pasaran disyaki berpunca daripada tindakan kartel yang menggunakan label beras putih import.

“Apabila harga BPT melonjak naik, kartel ini akan mengambil kesempatan dengan memasukkan beras tempatan ke dalam bungkusan kampit beras import.

“Dengan cara ini kartel boleh mengaut keuntungan berlipat kali ganda, sekurang-kurangnya RM4 bagi setiap kampit beras 10kg yang sebelum ini dijual pada harga RM26,” katanya. – MalaysiaGazette