Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Pengerusi PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

KUALA LUMPUR – Anak bongsu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mukhriz mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu berkata, ia berdasarkan kepada notis yang ditandatangani Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada dua abangnya.

“Saya melihat notis yang ditandatangani sendiri oleh Azam kepada Mirzan dan Mokhzani.

“Di awal notis itu menyebut bahawa siasatan dikenakan ke atas Mahathir, kemudian kedua-dua abang saya ini diarahkan membuat pengisytiharan harta untuk membantu siasatan itu,” katanya menerusi rakaman video, hari ini.

Mukhriz menambah, keluarganya hairan mengapa abangnya, Tan Sri Mokhzani Mirzan turut disiasat, sedangkan sasaran utama siasatan badan itu ialah Mahathir.

“Memang dari awal, kami rasa agak pelik (apabila) siasatan (dimulakan) ke atas seseorang itu, kononnya disyaki menyalahgunakan kuasa, kita pun belum pasti (sebabnya) kerana tidak diberikan butiran terperinci tetapi yang disiasat ialah anak kepada orang yang didakwa (melakukan kesalahan) itu,” katanya.

Pada Januari lalu SPRM mengarahkan Mokhzani dan Mirzan untuk mengisytiharkan harta masing-masing sejak 1981.

Pada 18 Januari lalu, suruhanjaya itu dilaporkan mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis.

Seminggu selepas itu, Mokhzani turut diarahkan untuk membuat perkara sama dan disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast