Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan bersama dengan gerakan memboikot rantaian kedai serbaneka KK Super Mart yang terlibat dalam kontroversi stoking dengan lambang kalimah Allah.

Pengarah Komunikasi Amanah Nasional, Khalid Samad berkata, tindakan gelojoh dan emosi tanpa usul periksa telah menyebabkan kemarahan dituju kepada pemilik rantaian kedai berkenaan sehingga berlaku insiden tidak diingini.

Beliau turut menegur individu yang ingin menjadi ‘juara’ tanpa mengambil peduli sama ada tindakan dan hasutan mereka adalah adil atau sebaliknya.

“Bertindak secara gelojoh dan berpandukan emosi tanpa usul periksa telah menyebabkan kemarahan dituju kepada pemilik rantaian kedai, di mana dijumpai lima pasang stoking-stoking tersebut.

“Sedangkan dia peniaga dengan kedai-kedai di seluruh negara. Adakah tindakan sebegini akan melariskan perniagaannya? Adakah keadaan huru-hara akan menguntungkannya? Sudah pasti sebaliknya! Maka mengapa dia ingin melakukannya?

“Kerana dia ‘anti-Islam’? Bagaimana ingin dikatakan dia anti-Islam sedangkan sumbangannya banyak, termasuk kepada masjid dan surau dan NGO Islam. Gambar-gambarnya bersama Menteri Besar Kedah, yang kononnya antara ‘hero perjuangan Islam’ pun sudah luas tersebar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid merumuskan, matlamat sebenar isu stoking tertera kalimah Allah itu adalah untuk mengeruhkan lagi suasana politik negara dengan drama ‘Islam terancam dan tidak dihormati’ serta hubungan antara kaum dan agama menjadi semakin tegang dan meruncing.

Katanya, keadaan sebegitu akan menguntungkan pihak tertentu kerana persepsi ‘Islam terancam’ dan ketegangan kaum serta agama adalah suatu kelebihan pada mereka.

“Dalam soal matlamat di sebalik tindakan ini, ada yang mengatakan matlamatnya adalah untuk menghina Islam.

“Tetapi, usaha menghina Islam itu adalah sekadar kaedah untuk mencapai matlamat sebenar, itu berlakunya perbalahan antara kaum dan agama di negara tercinta kita ini.

“Tidak mungkin ia sekadar bertujuan menghina Islam kerana tidak mungkin Islam menjadi hina dengan tindakan sebodoh itu. Malahan kesannya pasti sebaliknya.

“Maka pandangan ia dilakukan sekadar untuk menghina Islam agak meleset dan tidak masuk akal,” katanya.

Justeru, beliau menggesa supaya kes berkenaan disiasat dahulu sebelum tindakan menghukum dilakukan.

“Kami ingin menasihati semua, khususnya umat Islam dan orang Melayu, supaya jangan mudah terpengaruh dengan apa yang kemungkinan besar adalah mainan jahat golongan yang berkepentingan atau berniat jahat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast