Ketua Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Amalan Pelaburan Global Bank Dunia, Richard Record berkata, paras hutang negara masih sederhana dan tidak membimbangkan.

KUALA LUMPUR – Bank Dunia telah mengekalkan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini pada 4.3 peratus menerusi Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik April 2024 berdasarkan jangkaan kemungkinan kepada pemulihan pertumbuhan global dan keadaan kewangan yang terhad.

Ketua Ahli Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Aaditya Mattoo berkata, permintaan domestik akan terus menjadi tulang belakang pertumbuhan, dan Malaysia turut bersedia untuk meraih manfaat daripada pemulihan dalam pasaran eksport.

Penggunaan swasta dijangka meningkat 5.2 peratus berbanding 4.7 peratus pada 2023, didorong oleh keadaan pasaran buruh yang menggalakkan dan langkah sokongan pendapatan isi rumah yang berterusan.

Selain itu, eksport kasar diunjurkan naik sebanyak 4.8 peratus daripada penyusutan 7.9 peratus tahun lepas seiring dengan jangkaan pemulihan dalam perdagangan global.

“Berikutan pendedahan Malaysia kepada China, pertumbuhan perlahan di China akan menimbulkan kesulitan.

“Bagaimanapun secara umumnya, Malaysia akan menerima manfaat daripada apa yang dikatakan sebagai kitaran teknologi, yang merangsang eksport elektrik dan elektronik (E&E), dan ia telah mendapat manfaat daripada penempatan semula yang signifikan bagi pengeluaran semikonduktor dari China,” katanya pada sidang media melalui Zoom hari ini. – BERNAMA