Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN –  Parti Gerakan menyifatkan tindakan Kerajaan Perpaduan melaksanakan pendaftaran automatik dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) seolah-olah penyamun yang ‘mencuri’ dan ‘merompak’ maklumat rakyat.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, ia susulan pelaksanaan pendaftaran automatik berdasarkan data daripada agensi lain itu dibuat tanpa kebenaran daripada rakyat.

Katanya, langkah pendaftaran automatik ini turut menunjukkan kerajaan gagal mendapat kepercayaan rakyat.

“Sesetengah rakyat pilih untuk tidak mendaftar PADU kerana bimbang dengan kebocoran maklumat peribadi dan kurang yakin dengan keselamatan sistem tersebut yang diragui banyak pihak.

“Tapi kini kerajaan memilih pelaksanaan pendaftaran automatik tanpa mendapat kebenaran daripada rakyat. Bukan ke ini satu tindakan mencuri dan merompak maklumat rakyat?

Tong Keong (tengah) bersamaan pimpinan Parti Gerakan mengadakan sidang media berkaitan PADU di Pejabat Gerakan Pulau Pinang hari ini.

“Malah apa kesahihan hak kerajaan khususnya Jabatan Perangkaan Malaysia mengguna data daripada pelbagai agensi untuk membuat pendaftaran automatik?,” soal Tong Keong.

Mengulas lanjut Tong Keong turut menyifatkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli telah membazirkan sumber kerajaan dan dana awam serta tenaga kakitangan kerajaan dengan pelaksanaan PADU.

Katanya, tempoh tiga bulan yang digunakan bagi publisiti serta tenaga kerja kakitangan awam itu bukan sesuatu yang remeh.

“Memandangkan Rafizi tidak serius dalam hal ini, kita mahu dia dedahkan berapa banyak perbelanjaan yang digunakan untuk publisiti dan pembukaan kaunter pendaftaran PADU dalam tempoh tiga bulan ini termasuk siapa yang membayar perbelanjaan itu.

“Kita juga mahu penjelasan daripada dia berhubung penyediaan sistem PADU susulan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa ia menelan kos RM80 juta namun Rafizi mendakwa hanya RM2 juta.

“Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga perlu memberi penjelasan sama ada beliau sudah dimaklumkan lebih awal atau tidak mengenai pelaksanaan pendaftaran automatik PADU selepas 31 Mac,” katanya.

Tambah Tong Keong, perdana menteri harus memandangkan serius berhubung perkara ini kerana ia membabitkan kos selain mengambil tindakan ke atas Rafizi atas kegagalannya.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Perangkaan memaklumkan rakyat yang tidak mengemas kini data mereka di Hab Pangkalan Data Utama (PADU) akan didaftarkan secara automatik maklumat asas mereka.

Bagaimanapun, mereka masih memerlukan maklumat lebih lengkap walaupun pelbagai agensi kerajaan telah mengumpul data asas rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette