Sebahagian pelajar yang terpilih menerima sumbangan sempena Program Kasih Ramadan 2024.

KUALA LUMPUR – Kelab Wanita Universiti Malaysia Terengganu (Mutiara) dengan kerjasama Badan Amal Wanita Profesional Terengganu, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Berkat) meraikan golongan asnaf, OKU dan anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan melalui Program Kasih Ramadan Mutiara 2024 (PKRM 2024).

Program ini bermula sejak tahun 2016 mensasarkan 50 orang murid di Sekolah Kebangsaan Pasir Raja, Sekolah Kebangsaan Kuala Jengal dan Sekolah Kebangsaan Kampung Shukor, di daerah Dungun, Terengganu

Pengerusi Mutiara UMT, Wan Sarimah Wan Razak berkata, program itu dapat membantu meringankan beban ibu bapa di samping menceriakan kanak-kanak bagi menyambut persediaan kedatangan 1 Syawal nanti.

“Golongan kanak-kanak terpilih akan diberikan bantuan kelengkapan pakaian raya dan kasut mengikut saiz keperluan mereka. Hasil sumbangan para dermawan sama ada individu mahupun badan korporat telah merealisasikan impian mereka untuk menyambut hari raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Selain kelengkapan pakaian, terdapat juga 3 kotak buku ensiklopedia yang disumbangkan bagi perpustakaan sekolah terlibat dalam memupuk minat membaca di kalangan pelajar.

Salah seorang guru dari SK Kuala Jengal, Abdul Halim Ab Latif berkata, dia bangga kerana telah terpilh bagi menjayakan program itu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada MutiaraA UMT kerana sudi memberikan  sumbangan kepada pelajar dari golongan yang kurang bernasib baik.

“Program ini bermakna kerana sudah pasti mereka teruja dengan pemberian kelengkapan itu. Jelas terpancar wajah kegembiraan anak-anak yang tidak sabar untuk bergaya di pagi raya nanti,” – MalaysiaGazette.