Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan umat Islam di negeri ini agar menghindari apa juga bentuk ajaran salah atau sesat dengan hanya berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Baginda bertitah demikian selepas mendapat laporan mengatakan pengikut Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad kini mengukuhkan kawasan asal di Terengganu, termasuk turut bertapak di Pahang.

Melalui risikan pihak berkuasa mendapati gerakan ajaran sesat Ayah Pin telah mula bertapak di Pekan dan Rompin, Pahang.

“Jangan sesiapa nak cuba mengelirukan keadaan walaupun dia belajar di mana sekali pun.. Kita hormat mana dia belajar tetapi di Pahang satu sahaja ajarannya. Kita berdasarkan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Dulu ada satu kes bunuh pegawai penguatkuasa agama (berikutan kes ajaran sesat). Jangan biar berulang lagi.. atas nama Allah SWT kita semua bertanggungjawab,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis persembahan Taklimat Pembangunan Daerah Rompin di Pejabat Daerah dan Tanah Rompin di sini semalam.

Titah baginda disiarkan menerusi laman Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda turut mengingatkan semua pemimpin setempat termasuk penghulu dan Ahli Dewan Undangan Negeri serta pihak polis agar sentiasa cakna dengan masalah setempat. – MalaysiaGazette