Sabariah ketika program Nur Ramadan anjuran RTM Pahang dengan menyantuni 30 anak-anak Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kompleks Penyayang Kuantan di Jakel.

KUANTAN – Ibu bapa yang diuji mempunyai anak orang kelainan upaya (OKU) tidak sepatutnya berasa malu.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Sabariah Saidan berkata, sebaliknya mereka perlu memajukan potensi anak istimewa dan memberi mereka peluang bersama masyarakat.

Malah beliau mengalu-alukan pelbagai pihak termasuk sektor korprat mahupun  atau orang persendirian untuk memberikan bantuan kepada golongan asnaf termasuk golongan OKU.

Sabariah Saidan

“Kepada ibu bapa yang ada anak autisme, saya harapkan kita tidak malu bawa anak kita keluar. Kita ada institusi yang menyediakan pembelajaran untuk anak autisme ini, jadi kita jangan malu mengaku kita ada anak autism dan seumpamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Nur Ramadan anjuran RTM Pahang dengan menyantuni 30 anak-anak Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kompleks Penyayang Kuantan di Jakel.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Yayasan Pahang, MZ Gold dan Jakel Kuantan yang masing-masing menyumbang RM3,000  untuk pembelian pakaian hari raya bernilai RM200 seorang.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penyiaran Pahang, Arifin Awang dan Pengurus Unit Komunikasi Korporat Yayasan Pahang, Zarinah  Hamid.

Untuk rekod 2 April merupakan sambutan Hari Autisme Sedunia setiap tahun.

Jelas Sabariah, kerajaan negeri turut memberi bantuan melalui peruntukan khas  seperti Bantuan Prihatin Pahang kepada golongan itu selain menyediakan kaunselor di insitusi di bawah jabatan untuk memberi sokongan moral.

Namun lebih utama, katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendedahkan anak supaya tidak tercicir bagi berupaya melakukan pengurusan diri selain lebih berdikari.

“Kami sebenarnya memberi sokongan kepada ibu bapa yang mempunyai anak autism, kita ada menyediakan kaunselor bagi beri tunjuk ajar dan sokongan,” katanya.

Sabariah berkata dengan menempatkan anak istimewa di insitusi atau pusat jagaan yang betul sama ada di sekolah khas atau pemulihan dalam komuniti (PDK) ia sekali gus membina jati diri anak OKU.

“Lebih bekesan jika ibu bapa menghantar anak ke sekolah khas dan penting ibu bapa menjaga anak-anak istimewa ini supaya berdikari.

“Saya menerima maklum peruntukkan secara one-off kepada petugas dan pelatih di semua 54 PPDK seluruh Pahang di mana RM500 bagi petugas dan RM200 kepada pelatih sebelum Aidilfitri,” katanya. – MalaysiaGazette