Steven Sim.

PUTRAJAYA – Pengamal undang-undang Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara bagi menentukan tindakan lanjut susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perintah Kedutaaan Amerika Syarikat untuk membayar sebanyak RM66,000 kepada seorang pengawal keselamatan tidak terpakai.

Menterinya, Steven Sim berkata, kementeriannya akan meneliti asas keputusan yang dibuat mahkamah tinggi  itu semalam.

“Kita nak lihat dulu asas keputusan dan pegawai undang-undang akan berbincang dengan AGC. Kita pandang serius isu ini,” katanya ketika ditemui semasa Pra Pelancaran Hari Pekerja dan Program Pocket Talks Siri 1 2024 di Setia Perkasa 3, hari ini.

Katanya lagi, isu tersebut akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung esok.

Mahkamah tinggi  semalam memutuskan bahawa perintah daripada Mahkamah Perusahaan Malaysia tidak terpakai ke atas Kedutaan Amerika Syarikat yang mempunyai imuniti atau kekebalan.

Sehubungan itu, perintah ke atas Kedutaaan Amerika Syarikat supaya membayar sebanyak RM66,000 kepada seorang pengawal keselamatan, L. Subramaniam yang dipecat secara tidak sah pada 16 tahun lalu tidak terpakai.

Dalam masa yang sama, hakim juga mengarahkan Subramaniam membayar kos RM8,000 kepada kedutaan tersebut.

Subramaniam mendakwa telah dipecat secara salah pada 2008 selepas bertugas lebih 10 tahun dengan Kedutaan AS.

Katanya, beliau hanya menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan di kedutaan itu dan tidak terlibat dengan fungsi diplomatik atau keputusan kerajaan AS, selain tidak memiliki sebarang akses kepada maklumat atau dokumen sulit yang berkaitan dengan kedutaan itu atau kerajaan AS.- MalaysiaGazette