Pelajar USIM sedang mengakses bahan penyelidikan yang disediakan di perpustakaan universiti itu.

NILAI – Pengunjung Perpustakaan Universiti Islam Malaysia (USIM) kini boleh mengakses lebih 13,000 bahan digital secara percume melalui Sistem Repositor Penyelidikan (SRP) yang baharu.

Koleksi SRP kini mencecah 13,800 dan 80% daripadanya berteks penuh.

Hanya 20% masih terikat dengan isu hak cipta dan pihak perpustakaan sedang berusaha untuk mendapatkan bahan yang bebas hak cipta seperti bahan pra cetak dan draf yang dicetak.

SRP dibangunkan dengan perisian dari sumber terbuka dan memberi akses secara terbuka untuk warga USIM mengakses bahan penyelidikan sejak tahun 2000 lagi.

USIM merupakan universiti awam pertama yang terawal membangunkan dasar tersebut pada tahun 2018 sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya sejak 2020.

Menurut Ketua Pustakawan USIM, Nor Azzah Momin, pembangunan SRP dan pengumpulan khazanah intelektual secara digital bukan perkara asing bagi perpustakaan USIM.

“Aktiviti pendigitalan di USIM bermula pada tahun 2005 tertumpu kepada pengimbasan foto bercetak yang mempunyai nilai sejarah dan disimpan dalam stor khusus.

“Seterusnya, dikembangkan kepada bahan lain seperti kertas soalan peperiksaan, keratan akhbar dan bahan penerbitan universiti.

“Bahan-bahan ini seterusnya dimuat naik ke Sistem Repositori Institusi (Elmtiyaz) pada tahun 2008 untuk pengguna mengakses secara maya,” katanya.

Elmtiyaz merupakan antara pelantar yang sering digunakan warga universiti untuk mendapatkan bahan seperti Koleksi Keratan Akhbar, Koleksi Ucapan Naib Canselor, Koleksi Buletin, Koleksi Laporan Tahunan dan Koleksi Foto Digital. – MalaysiaGazette