Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama penjawat awam ketika Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 02 APRIL 2024.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, tiada penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang lazimnya diadakan pada Hari Raya pertama di Seri Perdana pada tahun ini.

Anwar berkata, sebaliknya beliau akan hadir Majlis Rumah Aidilfitri yang dianjurkan agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi mendekati lebih ramai rakyat.

“Sebab itu saya sudah putus untuk sambutan Aidilfitri, saya tidak buat majlis besar-besaran di Seri Perdana.

“Saya akan ikut beberapa sambutan dibuat di negeri oleh kementerian-kementerian seperti mana Ramadan.

“Ada kementerian menerajui program dan saya hadir, tidak menokok belanja kalau dibuat besar-besaran di Seri Perdana,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) di sini, pagi tadi.

Anwar juga berkata, kerajaan akan meneruskan amalan berjimat-cermat dalam berbelanja dan perkara itu perlu dipatuhi jabatan dan agensi lain dalam menyambut Aidilfitri.

“Sambut Aidilfitri munasabah, tapi saya nak pastikan Perbendaharaan dan syarikat-syarikat kerajaan tunjuklah contoh, janganlah bersaing siapa lebih megah dan gagah, bukan wang kamu pun.

“Saya nak ingatkan kadang-kala kita lupa, saya Perdana Menteri, belanja apa salahnya, tapi saya fikir bukan wang saya peribadi.

“Apa ertinya saya tak ambil gaji tapi belanja boros wang kerajaan, tiada makna,” katanya lagi. – MalaysiaGazette