Nik Nazmi

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang membuat rombakan besar-besaran kepimpinan negeri termasuk kemelut parti itu di Sabah yang mendesak ketuanya meletak jawatan.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkembangan itu kini menjadi perhatian utama Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menyifatkan keadaan masih terkawal.

“Saya ingat perkara itu sudah dalam perhatian pimpinan termasuk pihak Presiden sekali.

“Insya-Allah bila keputusan pihak pimpinan nanti akan dimaklumkan, tapi saya ingat keadaan terkawal dan kita maklum tentang perkara itu,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kemelut PKR Sabah akan dimuktamadkan dan Anwar sendiri akan mendengar pandangan serta luahan ketua bahagian negeri itu selepas Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Yahya Mat Sahri juga mengesahkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam akan ditentukan selepas pertemuan itu.

Pada 18 Mac lalu, Ketua Cabang Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah mendakwa Sangkar hilang sokongan untuk menerajui PKR Sabah selepas 15 daripada 26 Ketua Cabang dan Labuan meminta beliau meletakkan jawatan.

Sazalye yang juga jurucakap 15 Ketua Cabang itu mendakwa, Sangkar yang dilantik sebagai Pengerusi MPN pada Ogos 2022, gagal melaksanakan tanggungjawab memantapkan PKR Sabah.

Dalam pada itu, Nik Nazmi juga berkata, setakat ini, sebanyak enam negeri selesai menjalani rombakan kepimpinan PKR.

“Presiden dalam tempoh untuk membuat rombakan pimpinan-pimpinan negeri di mana sudah selesai di enam negeri.

“Selanjutnya untuk negeri-negeri yang lain sebagaimana ada dimaklumkan.

“Yang sudah dibuat Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette