KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Surau Umar Al-Khatab (SUAK) melakukan bantahan terhadap cadangan perobohan surau yang berusia hampir 10 tahun di hadapan Kondominium Sri Intan 2, hari ini.
Peguam Jawatankuasa SUAK, Zamri Mohd Isa berkata, pihaknya mendapat notis daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengosongkan tapak surau yang terletak di Taman Bamboo, di sini, dalam masa tujuh hari.
Menurut beliau, surat rayuan telah pun dihantar kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh untuk memastikan surau tersebut terus kekal.
“Sekiranya pembinaan surau ini tidak mendapat pengesahan, mereka nak mohon untuk pengesahan tapak surau sebab tapak ini memang digunakan oleh umat islam di sini untuk solat.
“Air dan elektrik pun ditarik daripada rumah yang disumbangkan oleh penduduk sekitar sini. Jadi kehadiran surau tidaklah menjadi masalah besar,” katanya.
Beliau menggesa pihak kerajaan memberi kebenaran kepada kepada mereka menguruskan surau tersebut untuk kegunaan penduduk sekitar.
“Jangan sekadar duduk dalam bilik aircond, turun padang. Tolong pertahankan surau ini,” katanya.
Konflik mula berlaku antara pihak pengurusan kondominium itu dengan SUAK pada akhir 2023 apabila pihak pengurusan Kondominium Sri Intan (SIK) bertukar dan mula menghadapi masalah parkir motosikal. – MalaysiaGazette.